KUALA LUMPUR: Yayasan MR D.I.Y. telah bekerjasama dengan Food4u untuk mengagihkan pek makanan kepada gelandangan di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah kempen perayaan MR D.I.Y. 2025, ‘Raya Penuh Makna’, yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan masyarakat, berkongsi kegembiraan dan mencipta kenangan bermakna.
Fokus utama program ini adalah untuk menyokong komuniti gelandangan yang sering menghadapi kesukaran dalam mendapatkan makanan yang mencukupi dan berkhasiat setiap hari.
Agihan makanan telah dijalankan pada 25 Mac di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan diteruskan pada 27 Mac 2025 di Jalan Sayur, Pudu.
Sebanyak 600 pek makanan telah disediakan dan diagihkan, terdiri daripada nasi briyani, biskut krim, roti dan air minuman dalam botol.
Wakil daripada Food4u, Encik Tony berkata, kami amat berterima kasih kepada Yayasan MR D.I.Y. kerana bersama kami dalam usaha membantu mereka yang memerlukan. Kami berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka, tetapi juga memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi dan individu untuk tampil membantu komuniti yang kurang bernasib baik.
Kempen sumbangan makanan ini mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi bukan sahaja dalam memberikan bantuan tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan berkongsi sumber, memupuk nilai-nilai kemanusiaan dan menanamkan rasa empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa atau agama.
Yayasan MR D.I.Y. juga mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan. Melalui usaha kolektif dan keprihatinan, perubahan yang lebih besar dan bermakna dapat dicapai.
Selain pengagihan makanan kepada gelandangan, Yayasan MR D.I.Y. turut melaksanakan pelbagai program lain di bawah inisiatif ‘Raya Penuh Makna’, termasuk aktiviti bersama kanak-kanak dari rumah kebajikan, program sukarelawan dan projek komuniti.